Mewakili ahli keluarganya yang lain, Fadzil berharap peminat memberikan mereka ruang untuk bertenang bagi mendepani keputusan sukar tersebut sementara mereka berusaha untuk membuat rayuan.

“Peguam sedang dalam proses membuat rayuan. Pihak keluarga kami masih lagi terkejut dengan berita ini. Kami mohon ruang ya,” ujarnya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi juga berharap agar Farid dapat menggunakan tempoh hukuman penjara selama sembilan bulan yang dijalaninya untuk bermuhasabah diri.

Zed berkata, semoga Farid akan berubah menjadi lebih baik selepas selesai menjalani hukuman tersebut kelak.

“Keputusan mahkamah yang telah ditetapkan adalah di luar bidang kuasa Seniman. 

“Justeru, kami berharap agar Farid dapat bermuhasabah diri dan keluar sebagai individu yang baharu dan mampu memberi sumbangan industri,” katanya.

Dalam pada itu, Zed menyeru para artis supaya mengambil iktibar daripada kes ini.

“Kes seperti ini jarang berlaku. Jadi, saya berharap agar ia tidak diulangi dan dijadikan pengajaran oleh selebriti lain,” katanya lagi.

Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 38, dihukum penjara sembilan bulan dan diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) Januari tahun lalu.

Farid dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara tersebut bermula tarikh sabitan iaitu semalam. - K! ONLINE