Penahanan ke atas lelaki tersebut dibuat di sebuah Pangsapuri di Bandar Sri Damansara, dekat sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, lelaki berkenaan berusia 28 tahun dan bekerja sebagai penjaga stor serta pengawal keselamatan. 

"Tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh peguam berkenaan pada 15 Ogos lalu berhubung satu ugutan yang diterimanya di laman sosial Facebook. 

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Roslan Bek orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan serta membuat sebarang komen sensitif yang boleh membangkitkan isu perkauman dalam media sosial untuk menjaga keharmonian kaum di negara ini. 

Difahamkan, ugutan tersebut diterima di laman sosial Facebook susulan kenyataan peguam berkenaan yang mencadangkan agar status Penduduk Tetap (PR) Zakir Naik dibatalkan. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam itu, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh penceramah antarabangsa itu telah mengguris perasaan rakyat Malaysia dan menyebabkan ketegangan hubungan di antara kaum di Malaysia. 

"Untuk mengelakkan sitatusi yang tidak diingini sekiranya beliau dihantar pulang ke India, kerajaan boleh dengan secepat mungkin membatalkan status penduduk tetap (PR) Malaysia yang dimilikinya. 

"Dengan cara ini, Zakir Naik boleh dengan sendiri mencari negara lain yang dapat memberi perlindungan kepadanya dan meninggalkan Malaysia," ujar kenyataan tersebut. - K! ONLINE