Kejadian berlaku pukul 9.15 pagi ketika Zaimi Abdullah Sani, 42, sedang membaiki tayar motosikalnya yang pancit di beranda rumahnya.

Menurut Zaimi, sebelum kejadian dia ada mendengar anjing menyalak tidak jauh dari rumahnya namun beranggapan hanya salakan biasa.

Katanya, bagaimanapun apabila dia menoleh ke belakang didapati seekor ular melintas berhampirannya.

"Saya terkejut lalu bangun dan pergi ke tempat selamat sebelum ular itu menyelinap masuk ke bahagian sofa berdekatan.

"Saya tidak menolak kemungkinan ular itu datang ke rumah berikutan cuaca panas selain tertarik terhadap burung walit yang dibela di rumah ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zaimi menambah, dia segera menghubungi talian kecemasan bagi meminta bantuan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Shaiful Azril Zainal berkata, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 9.22 pagi.

"Kami terpaksa berhati-hati mengalihkan kusyen sofa untuk memastikan kedudukan ular tersebut sebelum mendapati ular itu melingkar dan membelit pada rangka sofa.

"Ular itu kemudiannya berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas dalam masa kira-kira 15 minit," katanya. - K! ONLINE