Menurut jabatan itu pendaratan ikan kembung menurun bagi tempoh Januari hingga Mac dan kembali meningkat mulai April setiap tahun.

"Terdapat dua spesies utama ikan kembung di Malaysia iaitu R. kanagurta (kembung borek) yang biasanya berada lebih jauh ke lautan dan R. brachysoma (kembung pelaling) yang senang diperoleh di kawasan pantai," demikian menurut jabatan itu dalam kenyataan, di sini hari ini.

DOF berkata, berdasarkan kajian 'recruitment patterns' yang dijalankannya, stok ikan kembung mula tertangkap oleh pukat nelayan pada April yang berkait dengan musim bertelur dan seseekor ikan mengambil masa lapan bulan untuk matang.

Ikan kembung juga merupakan sumber yang dikongsi dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Myanmar dan peningkatan pendaratan pada masa ini disebabkan sumber bergerak ke perairan Malaysia, kata jabatan itu.

"Semasa bulan Julai, ikan ini didapati berada di kawasan perairan Malaysia oleh itu peningkatan sumber kembung pelaling boleh berlaku dan memberi keuntungan kepada nelayan tempatan di pantai barat Semenanjung," kata jabatan itu. - Bernama