Dalam Operasi Bersepadu Penjaja Warga Asing bermula pada pukul 9 malam itu telah dilakukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi membanteras kegiatan warga asing yang berniaga secara haram.

Ketika serbuan dilakukan, berlaku sedikit kekecohan selepas beberapa individu tampil mendakwa sebagai pemilik gerai berkenaan dan mempertikaikan tindakan dilakukan pihak berkuasa yang menutup perniagaan mereka.

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang dan terkawal selepas kedua-dua pihak berbincang secara baik bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Pemangku Yang di Pertua MPS, Datuk Juhari Ahmad berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan berhubung lambakan peniaga warga asing menjadikan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang sebagai lokasi berniaga secara haram.

“Sebaik tiba, beberapa warga asing bertindak melarikan diri dan meninggalkan barang-barang jualan bagi mengelakkan dari ditahan pihak berkuasa.

“Pada masa sama, beberapa peniaga mencetuskan provokasi dengan mendakwa mereka mempunyai surat kebenaran untuk berniaga di lokasi berkenaan, namun pemeriksaan mendapati mereka tiada permit,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas selesai operasi terbabit.

Tambahnya, tindakan sita dan tutup gerai akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati berniaga di lokasi yang tidak diizinkan selain tidak memiliki permit mengikut Undang-Undang Kecil 3 Tred Perniagaan dan Industri (MPS) 2007.

Operasi itu disertai lebih 100 anggota pegawai dan anggota penguatkuasa MPS, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). - K! ONLINE