Terbaru, dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari tadi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor yang merampas sebanyak 150 masing-masing beg tangan dan dompet tiruan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Muhamad Zikril Azan  Abdullah berkata, rampasan tersebut adalah hasil risikan dan maklumat terhadap kegiatan penjualan barangan jenama tersebut oleh wakil sahnya. 

Katanya, jarak antara kedua-dua premis yang menjual barangan tiruan itu kira-kira 50 meter.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati harga yang ditawarkan bagi produk beg dan dompet itu adalah serendah RM30 hingga RM150 berbanding harga asal sekitar RM1,500.

"Kesemua barangan dirampas melibatkan pecahan 122 beg tangan dan dompet (28) jenama Chanel bernilai RM17,169," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. 

Beliau menambah, hasil siasatan turut mendapati kedua-dua premis itu telah beoperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjual barangan tiruan jenis Longchamp.

Ujar Muhamad Zikril, hasil pemeriksaan turut mendapati salah sebuah premis yang diserbu telah menukar nama syarikatnya. 

"Kita telah merakam keterangan pekerja kedua-dua premis itu berusia 24 dan 52 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011," jelasnya. 

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan atau perniagaan mencurigakan supaya melaporkan di eaduan.kpdnhep.gov.my atau talian aplikasi WhatsApp 019-279 4317. - K! ONLINE