Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata, ini berbeza dengan amalan sebelum ini apabila tapak berkelompok diberikan kepada persatuan, koperasi atau pertubuhan bukan kerajaan sehingga wujud segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengenakan sewaan tapak pada kadar yang tidak munasabah.

"Perkara ini dilakukan bagi memudahkan peniaga individu mendapatkan tempat di tapak itu tanpa dikenakan cas sewaan terlalu tinggi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Tahun hadapan kita akan melakukan perubahan yang lebih drastik.

"Selepas ini sesiapa yang mempunyai lesen peniagaan sahaja yang akan kita beri keutamaan dan kita minta rakyat Negeri Sembilan khususnya peniaga, memohon sendiri pada masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas lawatan di tapak bazar Ramadan di Dataran Senawang di sini, malam tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Dr. Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengarah Pelesenan dan Pembersihan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Iskandar Arifin.

Aminuddin berkata, sewaan yang terlalu tinggi dikenakan pihak tertentu hanya  menyusahkan peniaga selain akan menjejaskan imej kerajaan negeri dan MPS pada mata masyarakat.

Semalam, Dr Mohamad Taufek dipetik sebagai berkata kerajaan negeri harus mengambil tindakan tegas terhadap peniaga dan penganjur yang menyewakan tapak bazar Ramadan di Dataran Senawang, di sini dengan kadar tinggi dan tidak munasabah.

ADUN Paroi itu menerima aduan mengatakan bahawa tapak tersebut disewa dengan kadar RM1,000 hingga RM1,500 sepetak, iaitu mencecah lebih 120 hingga 150 peratus daripada sewa yang ditetapkan. - Bernama