Dalam kemalangan kira-kira pukul 10 malam itu, sebuah kereta Proton Iswara Aeroback terputus dua selepas berlanggar dengan kereta jenis Honda Civic dinaiki seramai empat sekeluarga.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Iswara Aeroback, Mohamad Zamirhakim Rahmad, 23.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Iswara Aeroback dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke arah Rompin gagal mengawal kenderaannya lalu memasuki laluan bertentangan.

"Proton Iswara Aeroback itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Civic yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, Mohamad Zamirhakim yang merupakan seorang peniaga maut di lokasi kejadian, manakala penumpangnya, Muhammad Tarmizi Mat Nayan 22, yang bekerja sebagai pemandu lori getah patah kedua-dua belah kaki. 

Menurut beliau, pemandu Honda Civic yang bekerja sebagai Penolong Jurutera Pejabat Belia dan Sukan Jempol, Mohd. Amri Rubangi, 35, patah kaki kiri serta mengalami kecederaan  pada bahagian badan.

Kata beliau, isteri Mohd. Amri, Nurizzatti Haron, 30, yang merupakan suri rumah patah tangan kiri dan kanan, manakala dua anak mereka masing-masing Naqib Alzam, 8, dan Ariq Alzam, 5, tidak mengalami kecederaan.

Jelas beliau, penumpang Proton Iswara Aeroback dan pemandu Honda Civic itu di kejarkan ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan, manakala penumpang Honda Civic yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Pilah.

"Mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE