Mangsa, lelaki berusia 60 tahun itu mula terjerat dalam sindiket tersebut selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa dimaklumkan bahawa dia telah membeli sebanyak 20 biji pil tidur sebelum panggilan itu disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Individu lain yang mengaku seorang sarjan polis kemudiannya memberitahu mangsa adalah orang yang dikehendaki polis.

"Lelaki itu menyuruh mangsa memasukkan wang sebanyak RM24,000 ke dalam satu akaun sebagai wang jaminan sebelum mangsa melakukannya," katanya kepada pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, keesokan harinya, mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya Inspektor Gan dan meminta lelaki itu memasukkan wang sebanyak RM23,000 ke dalam akaun bank yang diberikan.

"Dalam tempoh seminggu sehingga Ahad lalu, mangsa yang ketakutan telah memasukkan wang berjumlah RM163,500 ke dalam beberapa akaun yang diberikan oleh suspek.

"Dia yang sedar dirinya ditipu kemudiannya membuat laporan polis semalam," katanya lagi.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE