Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang, mangsa berusia 45 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak diserang kedua-dua suspek yang berumur antara 20 hingga 30 tahun selepas mangsa enggan menyerahkan kunci kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandunya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, motif kejadian dipercayai untuk melarikan kenderaan mangsa.

Katanya, mangsa tetap berkeras enggan menyerahkan kunci kenderaan hingga mengakibatkan salah seorang suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak bahagian belakang badan mangsa.

"Tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat telah menembusi badan mangsa dan terkena lengan kirinya. Suspek yang gagal melarikan kenderaan tersebut terus melarikan diri selepas kejadian.

"Selepas ditembak, mangsa terus berlari untuk mendapatkan pertolongan daripada orang ramai dan dihantar seorang peniaga kedai makan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil setelah mendapatkan rawatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - K! ONLINE