Zakaria Haron, 58, berkata, dia membelanjakan kira-kira RM400 untuk memasang 62 Jalur Gemilang pada kereta jenis Proton Saga Aeroback miliknya.

"Perbelanjaan itu juga termasuk kos mengecat kereta dengan gambar Jalur Gemilang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia menghias keretanya dengan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan hari kemerdekaan negara.

"Ini merupakan salah satu cara untuk saya menunjukkan rasa sayang kepada tanah air, malah usaha ini sudah saya lakukan sejak 2009," ujarnya.

Menurut Zakaria, dia juga mahu menzahirkan rasa syukur kerana menjadi rakyat sebuah negara merdeka seperti Malaysia.

"Saya tidak kisah apa orang nak kata, apa yang penting saya  dapat meluahkan rasa cinta kepada negara yang sudah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun," tambahnya. - K! ONLINE