Ketua Jawatankuasa Khas India Muslim Parti Amanah Negara (Amanah), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, kerugian itu terjadi ekoran mereka kehilangan pelanggan hampir 50 peratus selepas larangan merokok itu dikuatkuasa.

“Sebenarnya, pelanggan restoran kami hanya datang untuk menjamu selera pada waktu tengah hari dan malam sahaja, lain daripada itu, ia dipenuhi dengan aktiviti lepak.

“Budaya lepak di Malaysia disifatkan begitu unik kerana tertumpu di restoran makanan dan atas sebab itu, larangan merokok itu disarankan untuk dikaji semula,” katanya pada pemberita pada Majlis Makan Malam Bersama Menteri-Menteri Parti Amanah Negara (Amanah) di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Timbalannnya, Datuk Salahuddin Ayub.

Mengulas lanjut, Noorul Hassan memberitahu, kerajaan juga disaran untuk meniru kaedah yang digunakan di negara maju seperti Singapura dalam menangani budaya merokok dalam kalangan rakyat.

“Kita boleh meniru cara yang digunakan restoran di Singapura di mana mereka mengkhaskan beberapa meja diluar restoran khusus untuk pelanggan yang merokok,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Sabu menjelaskan, pihaknya mengambil perhatian berhubung perkara itu dan menerima segala teguran serta kritikan yang dilontarkan dengan hati terbuka.

“Pada kesempatan ini juga, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat India Muslim atas sokongan diberikan mereka selain mengharapkan kerjasama itu akan berterusan,” jelasnya. - K! ONLINE