Tina atau Chong Yok Fon, 51, berkata, cuaca panas berpanjangan sejak dua bulan lalu menyebabkan 15 pokok durian yang mampu menghasilkan 3,000 biji durian itu telah mati.

“Harga pasaran durian Musang King bagi pasaran tempatan adalah mengikut gred iaitu sekitar RM35 hingga RM60 sekilogram. Manakala, harga di luar negara mencecah RM80 hingga lebih RM100 sekilogram.

“Kebanyakan pokok yang mati itu sudah berusia 30 tahun dan setiap batang pokok mampu mengeluarkan buah sebanyak 200 biji setiap musim,” katanya yang mengusahakan dusun durian di Kampung Pulai di sini.

Katanya, cuaca panas berpanjangan menyebabkan dusun durian Musang King mengalami kekeringan sumber air selepas tidak menerima hujan.

“Saya dibantu oleh adik lelaki serta enam pekerja untuk menguruskan kebun durian terpaksa memasang batang paip bagi menyuburkan dan menyejukkan pokok.

“Selain itu, saya juga turut meletak ubat pada batang pokok yang kekeringan,” katanya. - K! ONLINE