Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli berkata, pihaknya telah menjalankan beberapa promosi di negara lain bagi membuka pasaran baharu bagi produk IKS.

"Usaha untuk mempromosikan minyak sawit ini telah dijalankan oleh kementerian berkaitan (Kementerian Industri Utama) bagi menyakinkan pihak luar tentang kebaikan minyak sawit.

"Sementara kempen itu sedang berjalan di sana (EU), kita juga akan cuba membawa produk-produk IKS ini ke pasaran baharu seperti China dan Rusia yang sebelum ini telah bersetuju menerima produk minyak sawit kita,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) beberapa pengusaha IKS "Local to Global" di sini hari ini. 

Mengulas lanjut Mohd. Hatta berkata, pengusaha IKS di negara ini tidak perlu bimbang untuk menghasilkan pelbagai produk IKS khususnya makanan meskipun EU telah menjalankan kempen  ke atas minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit dari negara ini.

"Pengusaha IKS boleh terus menghasilkan produk masing-masing seperti biasa dan jangan kita (pengusaha IKS) meletakkan ketidakpercayaan kepada minyak sawit sekali gus memberi kemenangan kepada pihak yang tidak yakin pada sawit kita.

"Kita juga perlu memberi galakan kepada pengusaha IKS supaya mereka meneruskan penggunaan minyak sawit dan mereka juga tidak perlu menggantikannya dengan alternatif lain,"katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan, kerajaan mungkin bertindak balas dengan menghentikan pengimportan barang tertentu dari Eropah jika mereka masih meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipetik berkata, perkara itu akan dilakukan kerana Eropah dengan secara tidak adil menyekat kemasukan minyak kelapa sawit negara. - K! ONLINE