Mangsa lelaki berumur 40 tahun itu mula terjerat dalam penipuan tersebut selepas menerima panggilan baru-baru ini daripada individu memperkenalkan diri sebagai kawan perniagaan yang mangsa kenali.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dihubungi oleh 'rakannya' itu bagi meminjam wang kerana perniagaannya menghadapi masalah.

"Mangsa pada mulanya berasa pelik kerana nombor telefon yang tertera adalah berlainan daripada nombor rakannya sebelum ini, namun telah diyakinkan dengan alasan nombor lama telah dicuri.

"Mangsa kemudiannya mempercayai kata-kata lelaki itu sebelum bersetuju meminjamkan sejumlah wang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa telah melakukan sebanyak lima transaksi pindahan wang ke dalam akaun seperti diberikan oleh suspek yang kesemuanya berjumlah RM24,700.

"Wang tersebut didakwa telah dipindahkan ke dalam akaun bank milik rakan perniagaan sebagaimana diarahkan suspek.

"Bagaimanapun, mangsa sedar dirinya ditipu selepas menghubungi nombor telefon pejabat kawannya itu bagi menuntut hutang seperti mana yang dijanjikan," katanya.

Beliau berkata, rakannya itu mendakwa tidak tahu berhubung perkara berkenaan sebelum mangsa menyedari bahawa dirinya telah ditipu oleh sindiket yang menyamar sebelum membuat laporan polis semalam.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - K! ONLINE