Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar berkata, jika bantuan itu diteruskan, dibimbangi lama kelamaan kerajaan tidak akan mampu untuk menanggung kosnya.

"Pada awalnya, BR1M dimulakan sebanyak RM500 dan sekarang RM1,200. Malahan, penerima yang tidak layak juga dapat bantuan melalui BR1M kerana tiada siasatan terperinci dilakukan terhadap pemohon," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata pentadbirannya berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyatakan pelaksanaan BR1M oleh Barisan Nasional dahulu perlu dihentikan kerana ia mempunyai unsur rasuah. 

Dr Xavier dalam pada itu berkata, pihak bertanggungjawab akan mengkaji semula pengurangan perbelanjaan BR1M dalam usaha menaik taraf kehidupan rakyat secara keseluruhan.

Menurutnya, masyarakat yang kurang bernasib baik boleh mendapatkan bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) kerana saluran melalui jabatan itu lebih adil. - Bernama