Muhammad Ashnawi yang perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan 24 jam sehari bakal mengikuti program Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di Fakulti Syariah dan Undang-Undang di universiti itu.

Beliau yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik menganggap kekurangan dirinya itu bukan penghalang untuk mencapai kejayaaan seperti orang lain.

"Tidak boleh digambarkan kegembiraan apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di USIM sehingga ibu saya turut menitiskan air mata.

"Walaupun pergerakan saya agak terbatas, ia menjadi satu motivasi untuk sentiasa membuat yang terbaik. Saya berazam menamatkan pengajian dengan cemerlang," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh USIM hari ini.

USIM hari ini menerima pendaftaran pelajar baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2019/2020 seramai 2,566 orang dengan 28 orang daripadanya merupakan pelajar antarabangsa.

Muhammad Ashnawi yang memiliki Diploma Syariah daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dikesan menghadapi masalah paru-paru kiri tidak berfungsi sejak berumur dua tahun.

Beliau menggunakan alat bantuan pernafasan mudah alih yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor berharga RM18,000 seunit sejak tahun 2016 bagi memudahkan pergerakannya.

Pelajar itu masih menerima rawatan secara berkala di Hospital Serdang dan pernah beberapa kali koma termasuk selama 14 hari pada tahun lalu.

"Ia berlaku semasa saya tidur di rumah dan doktor memaklumkan puncanya oksigen tidak sampai ke otak," katanya. - K! ONLINE