"Kecuali kerajaan memperkenalkan langkah-langkah pengimbangan yang lain sekurang-kurangnya dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, penghapusan GST akan memberi kesan negatif bersih ke atas hasil kerajaan, walaupun harga minyak yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rabu lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa enam peratus GST akan dihapuskan mulai 1 Jun dan menyatakan ia akan memperkenalkan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah dilaksana sebelum pengenalan GST pada 2015.

"Kemungkinan besar, formaliti undang-undang termasuk pemansuhan Akta GST dan mencadangkan Akta SST baru akan dibentang pada sidang Parlimen yang akan datang, yang kami harapkan pada akhir Jun atau awal Julai," kata Moody's.

Pada 2017, pendapatan GST adalah RM44.3 bilion (US$11.2 bilion) atau 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Dengan mengandaikan perkongsian stabil berbanding KDNK dan mengambil kira corak bermusim, kami menganggarkan kerugian hasil daripada penurunan GST pada sekitar 1.9 peratus daripada KDNK tahun ini.

"Kami juga menganggarkan bahawa jika SST, yang menghasilkan pendapatan kira-kira 1.6 peratus daripada KDNK sebelum GST menggantikannya, berkuat kuasa pada Julai, kerugian hasil akan mengecil kepada 1.0 peratus daripada KDNK tahun ini," kata Moody's.

Walaupun kerugian ini dapat dikurangkan oleh harga minyak yang lebih tinggi, namun ini bukan merupakan pengganti tetap untuk GST dan tidak dapat diimbangi dengan mudah untuk kehilangan hasil berikutan turun naik harga.

Sebagai contoh, minyak mentah Brent yang bernilai AS$78.50 (RM311.90) setong pada 18 Mei, jauh melebihi andaian harga AS$52 (RM206.60) setong dalam bajet kerajaan pada 2018.

Dan dengan mengandaikan harga minyak purata AS$70 (RM278.10) tahun ini, kenaikan hasil minyak akan menjadi kira-kira 0.4 peratus daripada KDNK, membawa kerugian hasil bersih kepada 0.6 peratus daripada KDNK.

"Pengenalan GST pada 2015 bertujuan untuk mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap pendapatan berkaitan minyak, yang berjaya dicapai," katanya.

Selain itu, selepas 2018, pengenalan semula SST akan mewujudkan kekurangan pendapatan sebanyak 1.7 peratus daripada KDNK jika GST kekal pada sifar.

Menurut kerajaan, rasional untuk menghapuskan GST adalah bahawa ia akan meningkatkan penggunaan swasta dan pertumbuhan ekonomi, menambah kepada pendpatan cukai melalui peningkatan cukai korporat dan kenderaan bermotor dan duti eksais serta import.

"Kami tidak menyertakan kesan ini dalam andaian  kami kerana kami tidak menjangkakan kesan pengganda yang besar," kata Moody's. - Bernama