Kajian semula moratorium itu kini di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan dua ini, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Peladang Antarabangsa ke-9, di sini hari ini.

Penggantungan penghantaran pekerja Bangladesh ke negara telah menjejas beberapa industri utama negara khususnya sektor perladangan dan pembinaan dan keputusan menarik balik moratorium itu dijangka akan mengurangkan kekurangan tenaga kerja dalam sektor tersebut.

Pada September tahun lepas, Putrajaya menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) bagi pekerja Bangladesh, yang hanya membenarkan proses pengambilan dijalankan oleh 10 agensi terpilih yang diluluskan kerajaan sebelumnya.

Sistem sebelum ini menyaksikan pekerja Bangladesh perlu membayar sehingga RM20,000 sebagai yuran pemprosesan setiap orang kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain di Malaysia.

Minggu lalu, Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad, yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Kuala Lumpur berkata, negaranya menjangka mencapai persetujuan dengan kerajaan Malaysia bulan depan mengenai mekanisme baharu pengambilan pekerja Bangladesh.

Beliau menganggarkan kira-kira 400,000 pekerja Bangladesh kini bekerja secara sah di Malaysia. - K! ONLINE