Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an terbabit ditahan pada pukul 6.15 petang ketika dalam perjalanan menghantar pesanan makanan.

“Siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan telah bekerja sebagai penghantar makanan secara sambilan sejak dua bulan lalu.

“Semakan mendapati, suspek telah menyalahgunakan permit kerjanya selain gagal mengemukakan lesen memandu ketika ditahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan di bakul motosikalnya juga mendapati keadaan yang sangat kotor dengan bekas makanan selain tempat menyimpan kasut serta baju hujan.

Katanya, lelaki terbabit kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - K! ONLINE