Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.53 petang sewaktu mangsa yang berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan menghantar makanan di bangunan tersebut menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

"Sebaik tiba di pintu hadapan bangunan tersebut, mangsa dihampiri oleh dua lelaki dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125 yang kemudiannya mendakwa motosikal ditunggangnya adalah motosikal curi dan ingin mengambilnya kembali.

"Salah seorang suspek kemudiannya datang dari arah belakang dan terus memukul mangsa di bahagian kepala dengan menggunakan pengunci motosikal (fork lock) dan telah berlaku pergelutan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zani, sewaktu pergelutan berlaku, salah seorang suspek telah bertindak membawa lari motosikal mangsa namun mangsa yang dapat melepaskan diri sempat menendang motosikalnya itu sehingga jatuh.

"Sewaktu pergelutan berlaku, telefon bimbit milik salah seorang suspek telah terjatuh dan ditinggalkan di lokasi kejadian sewaktu mereka melarikan diri.

"Susulan kejadian tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian telinga, kepala, belakang badan dan mulut," jelas beliau.

Tambah Mohd. Zani, menurut saksi awam yang berada di lokasi kejadian, salah seorang daripada suspek turut didapati membawa sebilah parang yang diletakkan di belakang badannya.

"Pihak polis kini sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," tegas beliau. - K! ONLINE