Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, pihaknya perlu menghapuskan sekatan minda oleh pihak industri berhubung penggunaan minyak biodiesel tempatan yang kini sudah jauh ketinggalan dengan negara Indonesia apabila negara itu yang sudah mula menggunakan minyak B20 dan bertukar kepada penggunaan minyak B30 berbanding Malaysia masih menggunakan minyak B7.

“Kita baru sahaja melakukan perbincangan minggu lalu dan masih ramai yang tidak setuju dengan idea minyak biodiesel dan mereka perlu memerlukan masa untuk menerima minyak biodiesel,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Konsultasi Bajet 2019 di Dewan Serba Guna, Aras G, Kementerian Industri Utama di sini hari ini.

Sesi tersebut melibatkan seramai 180 wakil daripada pihak industri, persatuan dan pekebun kecil komoditi yang memberikan pelbagai idea dan cadangan kepada pihak kementerian untuk proses penyediaan Bajet Tahun 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 2 November ini.

Tema konsultasi bajet tahunan negara yang diputuskan kerajaan persekutuan pada tahun ini ialah memulihkan kewangan kerajaan, menjana pertumbuhan mampan, mensejahterakan rakyat dengan fokus memformulasikan bajet ke arah mengurankan kos hidup dan mendorong pertumbuhan kadar upah atau gaji.

Selain itu, fokus utama kerajaan ialah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dengan lebih adil dan saksama, melaksanakan transformasi fiskal dan institusi serta menggalakkan adaptasi teknologi dan inovasi baru.

Dalam pada itu, Teresa berkata, pihak kementerian menerima sebanyak 199 cadangan daripada pemain industri termasuk insentif kepada pekebun kecil getah, subsidi untuk minyak biodiesel dan peruntukan dana untuk automasi industri.

“Terdapat banyak cadangan yang boleh dilaksanakan tetapi perlu ada perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai cadangan yang dipersetujui,” ujar beliau. - K! ONLINE