Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin berkata, jumlah itu merangkumi urus niaga di 733 lokasi pasar tani seluruh negara dengan anggaran 1,000 pengunjung bagi setiap lokasi.

"Tawaran harga lebih murah di pasar tani berbanding pasar awam lain mampu membantu mengurangkan kos sara hidup pengguna, selain menggalakkan lebih ramai pengunjung berbelanja di pasar tani," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jualan Jimat Belanja Aidiladha Ambang Merdeka di pasar tani Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan Mohd Hafis Nurulhuda.

Program tersebut diadakan serentak di 733 pasar tani seluruh negara bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga yang menjimatkan untuk persediaan sempena sambutan Aidiladha esok.

Antara barangan keperluan yang ditawarkan termasuk daging, ayam, sayur-sayuran, barangan runcit dan juga produk keperluan hari raya seperti kelongsong ketupat dan buluh lemang.

Mohd Radzi berkata jualan penjimatan itu dapat dilaksanakan menerusi produk program ladang kontrak, pembekalan ikan dan hasil laut dari jeti serta barangan runcit yang diimport seperti bawang dan ubi kentang.

Sementara itu, katanya nilai jualan di pasar tani tahun lepas berjumlah RM861 juta manakala hingga Julai tahun ini, sejumlah RM478 juta nilai jualan dicatatkan membabitkan 733 pasar tani di seluruh negara.

Untuk rekod terdapat 73 pasar tani di Kelantan melibatkan 3,032 peserta dengan nilai jualan dari Januari hingga Julai 2018 bernilai RM18 juta. - Bernama