Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana banyak kejadian keracunan makanan melibatkan makanan yang dijual di bazar Ramadan atau pasar malam dilaporkan berlaku setiap tahun.

"Sebagai contoh, seperti mana pada tahun lepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas makan roti jala yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Parit dan kita sudah tentu tidak mahu kejadian seumpama itu berlaku lagi," katanya.

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Keselamatan Makanan sempena bulan Ramadan peringkat negeri di Dewan Merdeka yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Meng di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal meminta semua pembeli agar berhati-hati dengan menitikberatkan aspek kebersihan dengan memastikan setiap juadah yang dibeli di bazar Ramadan terjamin dan terpelihara daripada pencemaran makanan yang boleh menjejaskan kesihatan.

"Di samping itu, mereka (pembeli) perlu sama-sama membantu pihak berkuasa tempatan dan agensi penguat kuasa memantau tahap kebersihan dan harga makanan dengan melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya berlaku kenaikan harga atau tahap kebersihan tidak memuaskan di bazar Ramadan," katanya.

Sementara itu, Lay Meng dalam ucapannya berkata, operasi keselamatan makanan diadakan bertujuan memperkasa penjaja bazar Ramadan supaya sentiasa mematuhi elemen kebersihan dan keselamatan makanan serta menjual makanan yang bersih dan selamat kepada orang awam.

Beliau berkata, selain daripada pemeriksaan gerai makanan di bazar Ramadan, aktiviti penguatkuasaan seperti rampasan dan sitaan juga dijalankan di setiap premis jualan makanan terhadap makanan yang telah rosak, kesalahan pelabelan dan luput tarikh atau tidak mematuhi undang-undang di bawah Akta Makanan 1983. - Bernama