Ini kali kelima pengembara kelahiran Perak, R. Ragu, 43, melakukan pengembaraan itu dan bercadang menjadikannya sebagai acara tradisi setiap tahun sempena Hari Malaysia.

Beliau ditemani oleh anak lelakinya, R. Surya, 13, pelajar SMK St. Michael. Surya telah menemani bapanya dalam pengembaraan sejak 2013 tetapi hanya mampu menamatkan pengembaraan berjalan kaki hanya sejauh  20km. Tahun ini, dia menemani bapanya sepanjang pengembaraan.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, beliau mendapat suntikan semangat dan inspirasi daripada anak perempuannya yang pertama kali melakukan pengembaraan berjalan kaki bagi membangkitkan semangat patriotisme.

Ragu berharap agar Hari Malaysia disambut untuk tempoh yang lebih lama dan bukan sekadar satu hari sahaja.

"Jika perayaan seperti Hari Raya Adilfitri, Deevapali dan Krismas boleh disambut selama sebulan, mengapa tidak Hari Malaysia? Rakyat telah mengorbankan nyawa mereka demi kemerdekaan dan saya percaya setiap rakyat Malaysia harus menghargai pengorbanan itu," kata beliau kepada pemberita hari ini.

Beliau juga mengalu-alukan orang ramai terutama anak muda yang ingin menyertai beliau dalam pengembaraan berjalan kaki pada masa depan tetapi mereka perlu menjalani latihan fizikal dan mental dahulu.

Ketika ditanya mengenai pengalamannya sepanjang pengembaraan tersebut, Ragu berkata, sepanjang pengembaraan mereka mengharungi pelbagai cabaran terutama apabila menyeberangi sempadan negeri Perak.

Ragu berkata, pernah pemandu melemparkan sampah kepada mereka dari kenderaan dan menggelar mereka "bodoh dan gila.

Tetapi ada juga penduduk yang baik hati yang mempelawa mereka ke rumah mereka untuk menjamu selera dan diundang ke majlis kenduri perkahwinan.

Tetapi pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan ialah apabila mereka diiringi oleh anggota Penang Mountain Bike Association (PMA) di Esplanade kerana mereka bukan sahaja menerima banyak sumbangan daripada orang ramai tetapi menerima sorakan ketika kumpulan penyanyi buskers mempersembahkan lagu kebangsaan. - Bernama