Suspek berusia 37 tahun itu ditahan dalam Ops Toucan ketika bersama keluarga pada pukul 2 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Lelaki yang tidak bekerja itu ditahan susulan satu serbuan hasil kerjasama pasukan JSJN Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Jalan Lubok Kiat - Kubang Kuau, Pasir Mas pada pukul 12 tengah hari.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, dalam serbuan tersebut tiga lelaki berusia 19 hingga 53 tahun ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi bersama 700,000 pil kuda seberat 77.61 kilogram bernilai RM10.5 juta.

“Hasil serbuan serta siasatan lanjut polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang sedang dalam perjalanan ke luar negara. Siasatan mendapati, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak lebih setahun lalu.

“Seorang suspek wanita merupakan pengurup wang turut ditahan di sebuah rumah di Jalan Yaakubiah, di sini yang berperanan untuk ‘mencuci wang’ kegiatan haram mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mohd. Khalil berkata, tiga suspek lelaki tersebut baharu mengambil bekalan pil kuda berkenaan dari negara jiran dan untuk pasaran di negeri ini.

“Modus operandi digunakan sindiket berkenaan adalah dengan mendapatkan bekalan dari Thailand sebelum dijual secara pukal dan runcit. Rampasan ini merupakan yang terbesar di negeri ini pada tahun ini.

“Polis turut merampas tujuh kenderaan termasuk tiga motosikal, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM476,000. Nilai keseluruhan rampasan ialah RM10.97 juta,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE