Mangsa yang berusia 16 tahun diserang empat pelajar lelaki tingkatan lima di kawasan lapang di dalam asrama sekolah kira-kira pukul 5.47 petang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa mengalami kecederaan patah pada jari manis tangan kanan, benjol di kepala dan kesan calar pada bahagian leher.

"Polis menerima laporan daripada mangsa semalam, selepas hadir ke balai polis bersama bapanya. Berdasarkan keterangan mangsa, dia telah diserang empat pelajar tingkatan lima.

"Difahamkan, kesemua pelajar terbabit tidak berpuas hati selepas mangsa mengadu kepada guru disiplin mengenai kegiatan mereka yang merokok di pekarangan sekolah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Farid, kesemua suspek berusia 17 tahun itu diberkas di kawasan sekolah pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka direman selama empat hari bermula tarikh tangkapan," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE