Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Ramli Osman, 38, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Dua lagi penunggang, Ramly Kassim, 52, mengalami luka di tangan dan patah di bahagian bawah lutut, manakala Muhammad Ikhmal Zulkaflee, 22, yang cedera ringan dikejarkan ke zon kuning Hospital Alor Gajah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian si mati dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Kuala Sungai Baru menghala ke arah Linggi. 

"Tiba di simpang Jalan Kolej Islam Kuala Sungai Baru, mangsa yang hendak memasuki simpang sebelah kanan dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal jenis Modenas RS200 yang ditunggang lelaki berusia 22 tahun. 

"Akibat pelangggaran itu, mangsa kemudian bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Honda Wave dari arah sama. Akibat kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi penunggang terlibat cedera dan mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah," katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE