Tertuduh, Mohd. Halin Jabar, 52, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis semi auto dengan nombor siri 83451 tanpa kebenaran yang sah daripada mana-mana pihak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn. Bhd. di Taman Farmaseutikal dekat Seri Iskandar kira-kira pukul 7.55 malam pada 31 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 19 September ini untuk menjatuhkan hukuman.

Akhbar Kosmo! pada 2 September lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan Orang Asli daripada suku Semai maut ditembak rakan se­kerjanya di balai pengawal di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi di Seri Iskandar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Masri Pandak, 37, berasal dari Tronoh dekat sini dijum­pai dalam kea­daan terbaring dengan kesan tembakan pada dada.

Mangsa dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol dari jarak dekat berhampiran balai pengawal berkenaan.

Motif kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa tentang isu perbezaan gaji.

Mohd. Halin beranggapan mangsa cuba masuk campur urusan kewangan dan pekerjaannya selain menyebarkan cerita-cerita kurang enak mengenai dirinya kepada orang lain. - K! ONLINE