Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu,  Chhantyal Kabindra, 30, yang merupakan warga Nepal maut di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 menuju ke Klang dari Banting.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran.

"Mangsa yang berada di tengah laluan itu kemudiannya dilanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Wira Aeroback dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun.

"Akibatnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azizan menambah, pemandu kereta Proton Wira itu gagal mengelak mangsa berikutan kawasan jalan yang gelap.

Beliau menjelaskan lelaki itu hanya menyedarinya apabila keretanya telah merempuh satu objek di atas jalan raya dengan didapati mangsa warga Nepal itu berada di bawah keretanya.

"Kita sedang mengesan sebuah lagi kenderaan yang melanggar mangsa sebelum menghilangkan diri.

"Sehubungan itu, orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Lau Ung Hee di talian 019-6699901 atau terus menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE