Tertuduh, Mohd. Halin Jabar, 52, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bunuh sehingga menyebabkan kematian terhadap Masri Pandak,37,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn. Bhd. di Taman Farmaseutikal dekat Seri Iskandar kira-kira pukul 7.55 malam pada 31 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 31 Oktober depan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa dan sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol jenis semi auto dengan nombor siri 83451 tanpa kebenaran yang sah daripada mana-mana pihak sebelum di bawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk didakwa atas pertuduhan membunuh rakannya.

Akhbar Kosmo! pada 2 September lalu melaporkan seorang pengawal keselamatan Orang Asli daripada suku Semai maut ditembak rakan se­kerjanya di balai pengawal di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi di Seri Iskandar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Masri Pandak, 37, berasal dari Tronoh dekat sini dijum­pai dalam kea­daan terbaring dengan kesan tembakan pada dada.

Mangsa dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol dari jarak dekat berhampiran balai pengawal berkenaan.

Motif kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa tentang isu perbezaan gaji.

Mohd. Halin beranggapan mangsa cuba masuk campur urusan kewangan dan pekerjaannya selain menyebarkan cerita-cerita kurang enak mengenai dirinya kepada orang lain. - K! ONLINE