Suspek utama adalah pengawal keselamatan di sekolah yang dipecah masuknya dan menjadi dalang utama dalam kes tersebut melibatkan kehilangan 23 unit komputer riba yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek lain terdiri daripada tiga lelaki warganegara tempatan dan enam lelaki warganegara Myanmar berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun.

“Polis turut merampas 18 unit komputer riba yang dicuri dari makmal tersebut manakala selebihnya masih dikesan.

“Suspek berusia 31 tahun itu melakukan jenayah tersebut bersama rakannya, lelaki Myanmar dan suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu hanya selama 11 hari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Samsor menambah, siasatan mendapati suspek telah menjual kesemua komputer riba kepada rakan-rakannya dengan harga antara RM100 hingga RM200 sebuah.

“Perbuatan jahatnya itu terbongkar apabila didapati menjual komputer riba tersebut di Pasar Borong Selayang.

“Kita berjaya memperoleh semula 18 unit komputer manakala selebihnya masih dikesan,” ujarnya.

Pengawal keselamatan itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Selayang semalam dan dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara.

Sembilan lagi suspek masih direman sehingga 1 Jun ini untuk siasatan lanjut. - K! ONLINE