Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berkata, para usahawan yang ingin menceburi perniagaan seperti ini dinasihatkan mencipta jenama sendiri dan tidak mengambil jalan mudah untuk berjaya.

"Kepada usahawan-usahawan yang baru memulakan perniagaan jenis ini agar mencipta jenama sendiri. Berniaga lah dengan penuh etika, baru berkat dan berjaya.

"Bawal Exclusive bukan duduk diam sahaja, kita ingin lindungi hak dan jenama kita dan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ambil tindakan, ia menjadi iktibar kepada yang lain semoga perkara ini tidak berulang," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini. 

Sebanyak 1,631 helai tudung berjenama Bawal Exclusive disyaki tiruan dirampas oleh KPDNHEP di sebuah premis di Jalan Langgar di Alor Setar, Kedah semalam selepas menerima maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berkenaan.

Serbuan oleh KPDNHEP pada hari sama turut dijalankan di kawasan Masjid India di ibu negara dengan merampas 3,270 helai tudung tiruan Bawal Exclusive. 

Nilai rampasan di kedua-dua premis tersebut adalah sebanyak RM73,965. - K! ONLINE