Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebelum ditahan, lelaki berusia 26 tahun itu telah melarikan beberapa tin minuman keras di sebuah kedai serbaneka di Taman Melawati, Jalan Sungai Jati di sini kira-kira pukul 2.27 pagi.

"Menurut pengadu yang juga pekerja kedai terbabit, suspek telah masuk ke premis itu sebelun mengambil beberapa tin minuman keras tanpa membuat pembayaran.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dipandu oleh seorang rakannya. Anggaran kerugian kedai serbaneka terbabit berjumlah RM78," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, susulan kejadian itu anggota yang sedang membuat rondaan di Persiaran Batu Nilam kira-kira pukul 5.15 pagi telah terserempak dengan sebuah kereta yang tidak lengkap pendaftarannya dipandu seorang lelaki.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemui enam botol serta 37 tin minuman keras bersama 31 kotak rokok pelbagai jenama.

"Siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku telah mencuri barangan berkenaan di empat buah kedai serbaneka sekitar daerah ini pada hari sama," ujarnya.

Jelas Shamsul, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga mendapati dia negatif dadah.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga esok," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - K! ONLINE