Tertuduh, Chang Kok Kheong, 60, yang merupakan Pengarah Syarikat Energizer Properties Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa pecah amanah dengan tidak mengembalikan wang lebihan dalam urusan pembelian sebuah rumah kedai tiga tingkat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini antara 24 Julai 2014 hingga 11 Disember 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Jagdave Singh.

Terdahulu, Jagdave Singh dalam rayuan terhadap anak guamnya merayu jumlah jaminan ringan dibenarkan mahkamah memandangkan dia telah membayar jaminan keseluruhan RM35,000 bagi pertuduhan yang dihadapinya sebelum ini.

Julie Lack kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September ini bagi sebutan semula kes.

Pada 4 April lalu, Kok Kheong didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menyalahguna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai oleh dua pembeli membabitkan kerugian RM100,000 lima tahun lalu.

Dia sekali lagi didakwa pada 5 Julai lalu di mahkamah sama dengan tiga pertuduhan menipu membabitkan pembayaran deposit pembinaan kondominium pelajar yang tidak wujud mengakibatkan kerugian RM300,000 pada 2012. - K! ONLINE