Tertuduh, Chang Kok Kheong, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd. Noor.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Low Chong Ban, 57, dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa projek kondominium pelajar yang akan dibina di atas tapak projek bernama Segi Enclave adalah wujud.

Tertuduh didakwa mendorong Chong Ban untuk menyerahkan wang kepadanya masing-masing sebanyak RM100,000 melalui tiga kad bank iaitu Maybankard Visa, RM100,00 (CIMB Mastercard) dan RM100,000 (Citibank Mastercard).

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Energizer Properties Sdn. Bhd. di Jalan Sultan Abdul Jalil Greentown pada 4 Oktober 2012.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Charan Singh.

Terdahulu, Afiqah memohon mahkamah supaya jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, Charan memohon jaminan berkenaan dikurangkan ekoran tertuduh merupakan salah seorang pengarah syarikat yang turut berdepan tuduhan lain, justeru tiada sebab untuk dia melarikan diri.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan beserta seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan menetapkan 6 Ogos dan untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE