Amar Singh yang ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas jawatan Pengarah JSJK hari ini memberitahu beliau berterima kasih kepada PDRM yang telah memberikan peluang kepada dirinya untuk berbakti kepada negara.

“Saya sayangkan pekerjaan ini dan saya bekerja kerana minat yang terlalu mendalam dengan karier ini.

“Setiap masa yang diluangkan sepanjang perkhidmatan selama 35 tahun ini adalah sangat bermakna untuk saya,” katanya pada sidang akhbar di Pulapol di sini hari ini.

Beliau menambah, kes paling mencabar yang pernah dikendalikan olehnya adalah penyiasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Serbuan berkaitan kes itu adalah yang paling besar pernah saya kendalikan.

“Nasihat saya kepada anggota dan pegawai baharu untuk menjadikan tugas anda sebagai minat dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Amar Singh bersara dalam satu majlis penuh istiadat di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Beliau pernah bertugas sebagai Komandan Pulapol Kuala Lumpur dari tahun 2007 sehingga 2010 selain menjadi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur pada tahun 2016.

Beliau dilantik menjadi Pengarah JSJK Bukit Aman pada 13 Oktober tahun lalu dan disambung kontraknya sehingga hari ini walaupun sepatutnya bersara wajib pada 6 Jun lalu. - K! ONLINE