Mohammad Ezanni berkata, dia memiliki PhD dalam bidang Kejuruteraan Sistem Elekrik dan menamatkan pengajian pada 8 September 2015.

"Hari ini saya menunjukkan surat pengesahan daripada Pejabat Timbalan Naib Cansoler UniMAP yang menunjukkan saya memiliki ijazah kedoktoran yang sah daripada universiti terbabit.

"Semakan pengkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menunjukkan nama saya tersenarai pemegang akademik PhD dalam bidang tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohammad Ezanni membuat penafian tersebut susulan dakwaan di media sosial bahawa dia memiliki ijazah kedoktoran palsu yang tular selepas isu kejadian pencemaran pembuangan bahan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, susulan berita palsu itu dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi di sini pada 15 Mac lalu.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah tersebut yang jelas-jelas menjejaskan maruah dan reputasi saya sebagai penjawat awam," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Ezanni turut menjelaskan berhubung dakwaan bidang pengajian beliau tiada kaitan dengan alam sekitar sepertimana jawatan yang disandangnya, dia memberitahu merupakan penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Saya terikat dengan kontrak yang mana JPA telah menempatkan saya sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar sejak 2004 selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda.

"Saya menasihatkan orang ramai yang ingin menyebarkan berita perlu menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat itu sebelum disebarkan," katanya.

Dalam kejadian 7 Mac lalu, lebih 5,000 mangsa menerima rawatan susulan terhidu gas beracun  akibat bahan sisa toksik yang dibuang ke dalam Sungai Sim Sim, Pasir Gudang. - K! ONLINE.