Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Datuk Mohd. Nasir Abu Hasan.

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan bagi mendapatkan penjelasan secara tepat mengenai aktiviti pembalakan itu kerana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah prihatin terhadap isu alam sekitar.

“Saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Mohd. Nasir ketika bertemu­nya pada sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-76 di Istana Anak Bukit tadi (semalam),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! Ahad semalam melaporkan kira-kira empat juta penduduk di tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bakal menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih sekiranya kerja-kerja rakus pembalakan di HSUM, Sik tidak dihentikan.

Tinjauan wartawan Kosmo! mendapati aktiviti pembalakan berterusan di kawasan seluas lebih 100,000 hektar sejak tahun 2008 itu telah menjejaskan kawasan tadahan air Empangan Muda yang membekalkan air untuk tiga negeri tersebut sejak sekian lama.

Badrol berkata, kerajaan negeri difahamkan pihak-pihak berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda sentiasa memantau ketat aktiviti pembalakan di kawasan hutan terbabit.

Jelasnya, pemantauan tersebut dilakukan untuk memastikan syarikat konsesi pembalakan menjalankan aktiviti penebangan balak secara terkawal dan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

“Pihak berkuasa juga memberi perhatian serius terhadap kualiti air sungai di kawasan pembalakan untuk mengelakkan ia terjejas pada musim hujan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri menghormati usaha-usaha yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu alam sekitar dan bersedia berbincang dengan pihak tersebut bagi menangani isu berkenaan.

Tambahnya, kerajaan negeri terbuka untuk menerima pandangan daripada NGO terbabit berhubung isu alam sekitar untuk kebaikan rakyat.