Katanya, dia serik selepas melalui beberapa kali ­pe­­r­istiwa pesawat sukar untuk mendarat disebabkan hujan lebat mengakibatkan ada ketika dia sanggup menaiki bas untuk pulang ke Pantai Timur.

Saya percaya, dengan kejadian pesawat Indonesia, Lion Air yang terhempas di perairan Karawang, Indonesia pada Selasa lalu, dia pastinya akan menjadi lebih trauma untuk menaiki kapal terbang.

Pesawat Boeing 737 MAX8 yang membawa 189 orang itu terhempas ketika hendak berpatah balik ke Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dipercayai selepas mengalami masalah teknikal.

Satu persoalan timbul ialah sejauh mana selamatnya sistem pengangkutan udara itu kepada penumpang. Terapung di udara menaiki ‘burung besi’ selama berjam-jam mungkin menjadi pengalaman menarik kepada sesetengah orang tetapi tidak kepada yang trauma melayang-layang di udara.

Mengikut statistik, sebanyak 1,918 kemalangan membabitkan pesawat penumpang dan kargo berlaku antara tahun 1959 hingga 2015. Daripada nahas itu sebanyak 29,646 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Berdasarkan rekod, jumlah kematian paling tinggi nahas pesawat ialah membabitkan penerbangan Pan Am Airways yang bertembung dengan pe­nerbangan KLM di Santa Cruz de Tenerife, Kepulauan Canary pada tahun 1977.

Berikutan kemalangan melibatkan dua pesawat B747 itu sebanyak 583 orang terbunuh, manakala kematian kedua paling banyak ialah pesawat Japan Airlines yang terhempas di Tokyo pada tahun 1985 dengan 520 kematian. Lain-lain kemala­ngan selepas itu sekitar 300 orang ke bawah.

Melihat daripada kes se­perti itu, pastinya agak menakutkan tetapi sebenarnya jumlahnya amat kecil jika dibandingkan data yang dikeluarkan pada tahun 2014 bahawa sebanyak 3.3 bilion penumpang menaiki 37.4 juta penerbangan di seluruh dunia pada tahun itu.

Sementara Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa semasa membuat unjuran berdasarkan pertumbuhan semasa dan pertambahan populasi manusia mendedahkan jumlah pengguna penerbangan akan meningkat kepada 7.2 bilion setahun menjelang 2035 sekali gus memerlukan lebih banyak pesawat pada masa akan datang.

Malah menurut Flightradar24.com iaitu portal pengesan penerbangan semasa, ketika anda membaca tulisan saya ini, terdapat sekitar 3,300 pesawat sedang terbang di udara menuju ke destinasi masing-masing.

Jika anda salah seorang penumpang pesawat ketika ini pula, dianggarkan terdapat 660,000 orang lagi yang turut meluncur di udara menuju ke lapangan terbang yang dijadualkan.

Menjawab persoalan me­ngenai sejauh mana sistem pengangkutan udara itu selamat berbanding pengangkutan lain, seorang pensyarah Universiti Harvard yang mengkhusus dalam bidang komunikasi risiko, David Ropeik berkata, orang ramai perlu berhenti daripada meragui tahap keselamatan semasa menaiki pesawat.

“Nisbah kematian akibat kemalangan kereta ialah satu daripada 5,000 orang sedang­kan nisbah kematian menaiki pesawat satu daripada 11 juta orang. Malah anda lebih berisiko dipanah petir berbanding menaiki pesawat dengan satu daripada 13,000 kemungkinan,” katanya.

Data yang dikeluarkan oleh Universiti Northwestern pula menunjukkan motosikal paling berisiko kematian iaitu 212.5 orang daripada satu bilion pengguna diikuti kereta (7.28), feri (3.17), kereta api (0.43), bas (0.11) dan paling rendah penerbangan dengan kadar 0.07.

Justeru itu, adalah tidak wajar bagi sesiapa untuk meragui keselamatan menaiki pengangkutan udara meskipun kita menyaksikan tragedi pesawat cukup mengerikan apabila dipaparkan oleh media massa.