Jurucakap Pantau, Wan Agyl Wan Hassan berkata, pada masa kini, kadar pengangguran belia berada di tahap yang agak tinggi iaitu pada 10.9 peratus, tiga kali ganda daripada kadar pengangguran negara.

Menurutnya, kerajaan dilihat seperti mati akal di dalam menguruskan isu ini dengan menyalahkan belia yang tidak cukup kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidak padanan kemahiran.

“Ini adalah satu penghinaan kepada golongan belia bila mana kerajaan menyalahkan golongan belia berkenaan hal ini walhal ketidakcekapan kerajaan menguruskan isu ini telah menjadikan belia semakin menderita untuk menguruskan kos sara hidup mereka.

“Keadaan ini akan menjadi lebih teruk bila mana lebih ramai golongan pekerja diberhentikan oleh majikan atas alasan pengurangan kos operasi dan langkah penjimatan.

"Bayangkan dengan keadaan masa kini pun golongan belia sukar mendapatkan pekerjaan, ditambah pula dengan lambakan golongan pekerja yang diberhentikan, maka persaingan untuk mendapatkan perkerjaan akan bertambah sengit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Agyl berkata, bukan sahaja belia semakin susah mencari pekerjaan, malahan untuk memandu Grab juga sudah menjadi suatu perkara yang sukar apabila peraturan baru yang dikenakan oleh kerajaan dilihat agak sukar untuk dipenuhi oleh pemandu terutamanya pemandu separuh masa yang ingin mencari duit poket tambahan.

Katanya, keadaan ini sebenarnya menunjukkan prestasi ekonomi negara yang semakin hari semakin teruk dan ia kini memberi kesan secara lansung kepada semua perniagaan di dalam negara sehingga memaksa syarikat-syarikat untuk melaksanakan langkah penjimatan seterusnya merencatkan peluang belia untuk mendapatkan pekerjaan.

“Perkara itu sekali gus menunjukkan ketidakcekapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menguruskan negara dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bimbang lama-kelamaan isu penggangguran akan membawa kepada isu kualiti hidup termasuklah masalah-masalah sosial yang akan membawa kepada kebimbangan masyarakat untuk menjalani hidup yang aman damai di negara ini,” ujarnya. - K! ONLINE