Tertuduh, Muhammad Shahril Ambry Pazeli, 26, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan di hadapan Elesabet, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Gadong Perdana sekitar pukul 4 pagi pada 30 Mac 2018.

Sementara itu, dalam dua pertuduhan di hadapan Norma, tertuduh didakwa merogol seorang lagi gadis bawah umur yang juga berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Perak di sini sekitar pukul 3 pagi pada 28 Ogos 2018 dan pukul 9 pagi keesokannya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Muhammad Shahril didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos dan Shazreen Nadia Saaban tidak menawarkan sebarang jaminan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun terus menangis teresak-esak merayu agar jaminan rendah terhadapnya dibenarkan dengan alasan dia tidak bekerja dan ibunya kini nazak di hospital.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Norma menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa-mangsa yang juga saksi pendakwaan. - K! ONLINE