Tertuduh, Wan Mohd. Shahir Wan Nan, 29,  membuat pengakuan sama terhadap satu lagi pertuduhan iaitu mencederakan isterinya yang berusia 21 tahun.

Wan Mohd. Shahir membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ainul Shahrin Mohamad.

Tertuduh dituduh memiliki 17 laras pelbagai jenis senapang tiruan, 213 pucuk pelbagai jenis pistol tiruan, 164 biji peluru tiruan yang menyerupai senjata sebenar tanpa kebenaran sah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di alamat Lot 80, Blok B, Jalan Kaki Bukit, Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 8.15 malam, 3 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh memiliki sepucuk senjata tiruan jenis Gun Heaven Sheriff yang menyerupai pistol sebenar tanpa kebenaran sah di alamat sama kira-kira pukul 10.30 malam, 2 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 32(2) Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Pada prosiding sama, tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya di lokasi sama kira-kira pukul 10.30 malam, 2 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi pertuduhan mencederakan isteri selain memerintahkan tertuduh tidak mendekati wanita itu pada jarak minimum 1 kilometer 
serta masing-masing RM5,000 bagi pertuduhan memiliki senjata tiruan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying dan Nor Syaliati Mohd. Sobri manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan. - K! ONLINE