Tertuduh, Mohammad Sofiyudin Abu Bakar, 28, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Muhammad Aqil Hairi Mohd. Azrul Epindi, 2, di sebuah rumah tidak bernombor di Yan dekat sini antara pukul 7.30 malam hingga 8 malam, 25 Mei 2019.

Sebaik selesai prosiding, tertuduh dilihat bersalaman dengan isterinya yang merupakan ibu kandung Muhammad Aqil Hairi sebelum mencium dahi dan kedua-dua belah pipi wanita berusia 23 tahun itu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendawa Raya, Nurul Waheda Abd. Rahman dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ibu Muhammad Aqil Hairi dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah mengikut Sesyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.

Kosmo! Online pada 27 Mei lalu melaporkan polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang mati akibat didera. - K! ONLINE