Tertuduh, Hasan Masala, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin. 

Hasan didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Koo Kar Chung, 56, di sebuah bengkel membaiki motokar di Taman Malim Jaya di sini antara pukul 7 hingga 7.30 pagi, 8 Julai lalu. 

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. 

Mahkamah menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. 

Pada 8 Julai lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terbaring dengan kesan tikaman pada leher di kaki lima sebuah premis pernigaan di Taman Malim Jaya oleh orang awam yang sedang sarapan di sebuah restoran berhampiran pada pukul 7.30 pagi. 

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai pergi ke bengkel berkenaan untuk mencuri besi buruk sebelum berlaku pergelutan dengan mangsa. - K! ONLINE