Mangsa, Ramli Yusoff,  54, yang bekerja sebagai pemandu lori dikatakan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke tempat kerja di Kawasan Perindustrian yang terletak di bandar ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, dalam kejadian kemalangan pada pukul 7.40 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah jalan Kuala Krai menuju ke Gua Musang.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian pemandu kereta jenis Perodua Alza yang berada di laluan Gua Musang ke Kuala Krai dipercayai telah terlelap dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh penghadang jalan di sebelah kanan jalan. 

Akibat pelanggaran, kenderaan itu telah hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 yang datang dari arah bertentangan. 

“Akibat pelanggaran, mangsa tercampak ke atas cermin hadapan kenderaan. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala maut serta-merta di tempat kejadian.

“Manakala, pemandu dan penumpang kereta Perodua Alza, hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Tambah Mohd. Taufik, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE