Pelbagai persoalan menerjah fikiran gene­rasi pertama peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu. Dalam hatinya berkata-kata, musim tengkujuh sudah bermula.

Ini bukan kali pertama dia menghadapi situasi seperti itu. Namun, dugaan pada kali ini terlalu berat untuk ditanggung berbanding tahun-tahun terdahulu. Pada usia yang menjangkau 70-an, kudrat Pak Mat tidak segagah ketika mula-mula berpindah ke tanah rancangan Felda itu kira-kira 40 tahun lalu.

Pada musim hujan ini, dia tidak dapat turun ke kebun untuk menoreh getah. Selain hasil yang semakin berkurangan, harga getah juga merudum ke paras terendah sejak akhir-akhir ini. Dia bernasib baik kerana semua anaknya sudah berumah tangga. Namun, pada usia yang dianggap ‘bonus’ ini, Pak Mat masih menanggung hutang yang mencecah RM100,000. Semuanya gara-gara kos proses penanaman semula pokok getah di tanah kebun seluas 10 hektar miliknya.

Bagi peneroka yang telah meninggal dunia ‘hutang’ itu terpaksa ditanggung oleh pewaris sama ada isteri atau generasi kedua. Pak Mat tidak berseorangan untuk berdepan masalah ini kerana situasi yang sama turut dirasai hampir semua peneroka Felda di seluruh negara.

Masalah ini turut dirasai peneroka yang mengusahakan tanaman pokok kelapa sawit. Ketika ini, pokok kelapa sawit tidak mengeluarkan hasil yang banyak selain kejatuhan mendadak harga pasaran.

Kini, para peneroka bimbang hutang berkenaan akan terus diwarisi oleh anak cucu mereka. Itu tidak termasuk lagi hutang pinjaman mengubah suai rumah, kereta dan segala bil utiliti yang digunakan. Itulah dilema yang sedang dihadapi pe­neroka-peneroka Felda yang suatu ketika dahulu ditatang bagai minyak yang penuh oleh kerajaan. Ketika ini, kerajaan seakan-akan memandang sepi golongan peneroka Felda tersebut. Selalunya, pada akhir tahun seperti ini, para peneroka akan menerima perkhabaran gembira seperti pengumuman pemberian wang atau bonus.

Kerajaan kini perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kejatuhan harga sawit dan getah yang berlarutan sejak sekian lama. Rata-rata peneroka semakin terhimpit berikutan kejatuhan harga komoditi itu di samping pengeluaran hasil yang berkurangan.

Selain menangani kejatuhan harga getah dan kelapa sawit, kerajaan juga perlu menangani masalah pemimpin-pemimpin Felda yang tidak amanah, terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya. Disebabkan oleh kerakusan pemimpin-pemimpin ini, Felda mengalami kerugian berbilion-bilion ringgit yang akhirnya mengundang penderitaan kepada golongan pe­neroka.

Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hutang Felda berjumlah RM8.025 bilion hasil legasi ke­pimpinan terdahulu berikutan terlalu banyak campur tangan politik dalam urus tadbir. 

Justeru, tegasnya kerajaan akan membentangkan kertas putih Felda pada persidangan Parlimen pada penggal akan datang.

Bagi para peneroka Felda, mereka berharap agar pengumuman ini bukan sekadar retorik atau ‘gula-gula’ kerajaan.