Bangunan berkenaan kini dipercayai sudah menjadi hak milik individu tertentu selepas membayar sejumlah wang kepada sindiket terbabit.
      
Para peneroka mendakwa, sindiket berkenaan menawarkan setiap generasi kedua peneroka dengan harga RM650 untuk memiliki satu lot rumah.

Seorang peneroka, Mohamad Zin Hassan, 67, berkata, sindiket menjual tanah lot rumah itu juga membabitkan tanah rizab dan kebun peneroka yang sudah diusahakan dengan pelbagai tanaman.

Katanya, sebahagian besar peneroka sudah membayar wang yang ditetapkan iaitu sejumlah RM650 bagi satu lot rumah untuk anak mereka.

“Kami sudah menjelaskan bayaran itu tetapi  belum dapat ditentukan untuk memiliki lot rumah yang dijanjikan sehingga sekarang.

“Saya sendiri sudah membayar sebanyak RM650 membabitkan kebun yang sudah diusahakan dengan pelbagai tanaman kerana bimbang jika tidak berbuat demikian kemungkinan dijual kepada orang lain," katanya.

Seorang lagi peneroka, Zabidi Mohd. Noor, 72, pula berkata, dia terpaksa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengenai perkara itu selepas tidak berpuas hati dan berasa tertipu, semalam.

Katanya, dia sudah berjumpa dengan pihak pengurusan Felda Wilayah Gua Musang bagi mendapat penjelasan isu tersebut tetapi mereka mendakwa tidak mengetahui perkara berkenaan.

“Kami percaya masalah itu tidak pernah berlaku di Rancangan Tanah Felda tempat lain dan hanya berlaku di Felda Perasu yang mungkin ada unsur penipuan.

“Saya berharap pihak berkuasa termasuklah pihak pengurusan Felda dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan berhubung perkara terbabit," katanya ketika ditemui pemberita di Felda Perasu, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara berkenaan. - K! ONLINE