Menurut Saiful Safwan yang juga merupakan pengasas produk kecantikan Aurawhite Global Sdn. Bhd., beliau ingin tidakan tegas dikenakan kepada individu yang membocorkan filem tersebut untuk tatapan netizen demi kepentingan sendiri.

"Diakui memang sukar untuk menangani masalah siber seperti ini pada zaman yang serba moden sekarang. Bagaimanapun, tindakan tegas harus diambil supaya perkara sebegini tidak berulang lagi.

"Rakaman video tersebut sudah ditonton lebih 600 orang. Kita dapat kesan rakaman video itu ditayangkan secara haram dalam masa kurang 24 jam sehari selepas filem itu ditayangkan secara rasmi di pawagam pada 30 November (Khamis)," ujar Saiful Safwan.

Sementara itu, pengarah filem tersebut, Osman Ali, kecewa apabila buat kali kedua, filem arahannya berdepan nasib sama dan sekali gus menjejaskan promosi untuk menjayakan filem terbabit.

"Tujuan kami membuat laporan polis adalah kerana hal seperti ini seperti tiada berpenghujung. Saya amat hairan bagaimana individu terbabit boleh merakamkan video secara haram di pawagam tanpa pengawasan ketat daripada pihak pawagam itu sendiri.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah sudah empat hari ditayangkan filem Pinjamkan Hatiku sudah mengutip hampir RM1juta. Saya mahukan penguatkuasaan yang lebih ketat mengenai perkara ini agar ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan," jelas Osman.

Filem lakonan tiga teraju utama Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan Farid Kamil itu menjadi mangsa jenayah siber apabila filem itu dirakam menerusi Facebook Live.

Filem yang ditayangkan pada 30 November lalu dipercayai disiar seorang penonton dari dalam dewan pawagam di Kuala Terangganu.

Menurut Osman, rakaman Facebook Live disiarkan sehari selepas filem tersebut ditayangkan. - K! ONLINE