Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM, Pangkalan Udara Subang, Selangor, Mohd. Farhan Marzuki berkata, kanak-kanak tersebut Suzilin Arisan, 3, mengalami sesak nafas akibat demam panas. 

"Penerbangan ihsan itu menggunakan helikopter AW 139 berlepas dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang pada 9.35 pagi dan mendarat di Kampung Chemal pada 10.20 pagi untuk mengambil kanak-kanak tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, helikopter yang membawa kanak-kanak itu bersama ibunya kemudian mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 10.40 pagi sebelum dihantar ke hospital berkenaan menggunakan ambulans.

Beliau berkata, semalam, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak menghubungi pihaknya untuk mendapatkan bantuan membawa keluar kanak-kanak  itu bagi mendapatkan rawatan di hospital berikutan kesukaran laluan darat. - Bernama